06 September 2010

Lawatan ke Pusat Kanak-Kanak Spastik

بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum w.b.t.

Seawal 7 pagi kami sudah bergerak ke PJ, kali ini kami akan melawat Pusat Rehabilitasi bagi Kanak-Kanak Spastik, dibawah naungan Persatuan Kanak-Kanak Spastik Selangor dan Wilayah Persekutuan (SCAS&FT). Kami diberi taklimat ringkas oleh salah seorang sukarelawan disana. Pusat ini bukan sekadar pusat rehabilitasi, tapi ia juga sebagai sekolah bagi kanak-kanak spastik.
cak! ape amek gamba ni?
Sejarah Pusat Kanak-Kanak Spastik
Asalnya hanya 7 orang pelajar dimasukkan disini pada tahun 1960, kini sudah mencecah beratus-ratus pelajar. Setiap pelajar hanya dapat datang seminggu sekali kerana kekurangan sukarelawan dan kelas. Selain PJ, cawangan lain mereka adalah di Pulau Pinang dan Johor Bahru. Kos untuk menjalankan Pusat ini mencecah 2 juta, dan mereka mendapat 20% sumbangan dari kerajaan, selebihnya adalah dari sumbangan masyarakat dan sektor kooperat.


Definisi Kanak-Kanak Spastik
Pembaca jangan keliru dengan istilah kanak-kanak kurang upaya atau kanak-kanak istimewa, kerana kanak-kanak spastik bukanlah terdiri daripada mereka yang terencat akal, malah ada antara mereka lebih pandai dari kanak-kanak biasa.

Nama keadaan ini dalam bahasa perubatan adalah Cerebral Palsy(CP), dimana mereka mempunyai kesukaran untuk melakukan pergerakkan normal, kekalkan keseimbangan badan dan lain-lain. Sebab utama adalah otak mereka mengalami kerosakkan di bahagian Cerebral Cortex, yang mengawal fungsi motor, fikiran dan fungsi deria.

Terdapat 3 bentuk CP, spastic, athetosis dan ataxia. Spastic merujuk pada kerosakan pada bahagian Cerebral Cortex, athetosis pula kerosakkan pada bahagian Basal Ganglia yang mengawal pergerakkan agar lebih teratur, tersusun dan tepat. Ataxia pula kerosakkan pada bahagian Cerebelum yang mengawal keseimbangan badan, postur koordinasi pergerakkan.

Namun, kerosakkan ini boleh melibatkan struktur otak lain yang menyebabkan mereka buta, pekak dan kesukaran untuk memahami sesuatu informasi. Kerana kesukaran mereka untuk lakukan pergerakan, mungkin ramai akan fikir mereka ini terencat akal, namun tidak semua kanak-kanak spastik begitu.

Seorang ayah yang setia menunggu anaknya di sekolah, kemudian lepas tengah hari, pergi kerja pula.
Setiap kerosakkan pada otak adalah unik dan tiada yang sama antara pesakit spastik, menjadikan klasifikasi ia lebih sukar. Tapi, bagi pusat ini, mereka akan menerima kanak-kanak yang berusia 6-9 bulan ke bawah yang telah didiagnose doktor mendapat CP. Juga kanak-kanak yang tidak pekak atau buta. Ini kerana, agak sukar untuk melembutkan otot dan tulang kanak-kanak spastik yang berusia lebih 9 bulan.


Kemudahan Sekolah dan Rawatan di sini.
Terdapat 3 jenis kelas untuk terapi, physiotherapy, occupational therapy and speech therapy. Tempat pertama kami melawat adalah fisioterapi, dimana kanak-kanak dilatih untuk melembutkan pergerakkan kaki, tangan dan angota lain. Kebanyakkan pergerakkan mereka keras bukan kerana kerosakkan terus pada otot atau tulang, tapi dari otak tadi.
Penerangan daripada fisioterapi berpengalaman
 Kelas Terapi Pekerjaan (Occu Therapy =_=) pula untuk memastikan paling penting posture duduk dan berdiri yang betul. Kemudian melatih pelajar untuk melakukan pergerakkan dengan teratur dan kemas. Pelajar S di bawah, mendapati kesukaran untuk lakukan pergerakkan menggunakan tangan kanan. Jadi cikgu mengajarnya untuk menggunakan tangan kiri, untuk bantu pergerakkan tangan kanan. S pandai menyusun mengikut warna blok tapi dia agak malu ketika kami datang tengok dia. (^_^) Sebab kenapa tangan kanannya mengeras adalah kerana kurang melakukan fisioterapi di rumah, jadi sangat penting perhatian dan penjagaan  berterusan dari ibu bapa atau penjaga.

S yang pandai
Kemudian kami melawat terapi pertuturan pula. Memahami kanak-kanak spastik bertutur bukan sekadar mendengar sepatah-sepatah perkataan keluar dari mulut mereka, tapi cukup sekadar mereka faham apa yang kita cuba sampaikan dan mereka tahu bagaimana mahu menyampaikan apa yang mereka tahu.
Setengah peralatan khas dibuat sendiri kerana kos yang mahal, 


Ada juga kelas biasa, yang mengajar subjek biasa di sekolah. Pada waktu rehat, mereka akan jalan-jalan keluar kelas, bermain dengan kawan-kawan lain macam biasa.

Di luar kelas
Ada yang perlu pakai perlindungan tambahan kerana mereka jalan terhuyung-hayang dan langgar dinding, boleh menyebabkan lebih banyak kerosakkan otak. (+_+) aiyohh.. jalan bebaik adek.
Excited jumpa kami, pelajar perubatan UiTM.
Kamudian kami ke bangunan lain pula, tempat pelajar diberi pendidikan vokasional. Kebanyakkan mereka di sini lebih dewasa dan sudah berkerja. Paling tua adalah 52 tahun. Ada sesetengah sudah keluar dan boleh berkerja sendiri di kilang, packing, stamping dan ada juga yang jadi operator telefon.
Mereka membungkus sarung tangan getah ke dalam kotak
Ada yang pandai buat crossstrich dan menang pelbagai anugerah. Ada yang mahir main permainan macam petanque ke boling padang? (+_+") sampai ke oversea bertanding. Hebat-hebat mereka semua.
Jadi jika pembaca nak buat sumbangan promote pulak (^////^) bolehlah salurkan sumbangan pada mereka di alamat Hon. Director, SCAS&FT, No 14, Lorong Utara 'A', P.O Box 48, 46700 Petaling Jaya.

Siapa yang dapat CP?
Lupa nak cakap, orang yang mendapat CP tidak kira bangsa, lelaki atau perempuan, latar belakang keluarga, usia kandungan atau usia ibu yang mengandung. Ia terjadi setiap 800 kelahiran di dunia. Bukanlah salah ibu bapa apabila CP terjadi pada anak-anak, namun ada bukti menunjukkan ia boleh terjadi dengan kecederaan ketika dalam kandungan atau semasa lahir. Adalah jarang untuk CP berlaku dalam satu keluarga yang sama sebab ia bukan disebabkan keturunan.

Ini ada sedikit video persembahan diorang masa kami melawat mereka di sana. Pandai diorang main, yang main piano tu, mata dia tak nampak sangat, tapi dia boleh main dengan mendengar bunyi dari telinga dia. Lagu ni 'jong inai', bila cikgu dia kata nak main lagu 'rasa sayang hey' pula, diorang sangat suka.
video
Ini satu lagi lagu, rasa sayang hey.. tapi tak dapat la nak upload full version. Nanti lambat. Seronok kami datang ke sana semua orang tepuk tangan sama-sama, InsyaAllah, ada rezeki akan datang lagi sambil menderma. Enjoy n_n
video

Wallahualam.